Tuesday, April 5, 2016

Anjing makan daging suami



Majorca: Polis di sini menahan seorang wanita warga Russia atas tuduhan membunuh suaminya dan memberikan anjingnya memakan sebahagian tubuh mangsa.
Svetlana Batukova, 46, dihadapkan ke mahkamah semalam berhubung pembunuhan suaminya Hans Henkels.
Lelaki berusia 66 tahun itu mati selepas ditikam di rumah mereka di pantai peranginan Cala Millor di sini.
Svetlana kemudian mengelar lengan mayat suaminya hingga ke tulang sebelum memberikan anjingnya memakan cebisan daging mangsa.
Svetlanda yang mengaku menagih dadah mengambil masa beberapa jam selepas pembunuhan itu untuk menelefon polis.
Dia ditangkap dan ditahan di unit psikiatrik sebuah hospital sementara menunggu untuk dibawa ke mahkamah.
Penyiasat percaya mangsa yang baru-baru ini menjalani pembedahan salur udara dan mampu bercakap, mungkin diberi dadah sebelum kematiannya memandangkan tidak ada tanda-tanda menunjukkan dia mempertahankan diri.
Svetlana yang berasal dari Novosibirsk, bandar ketiga terbesar di Russia, sering memuat naik gambar dia dan anjingnya di Facebook.
Pasangan itu dilapor kerap bergaduh hingga polis terpaksa campur tangan beberapa kali sebelum kejadian kelmarin.
Laporan media tempatan berkata, wanita itu baru-baru ini menawarkan 50,000 euro (RM224,000) kepada lelaki yang dikenalinya di sebuah bar untuk membunuh suaminya.


- Agensi/Metro

No comments:

Post a Comment