Wednesday, February 22, 2017

Terdesak nak kahwin

Melaka: Seorang remaja lelaki memberi alasan terdesak mahu berkahwin bulan depan, selepas ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis kerana meragut seorang wanita warga Indonesia di Jalan Pantai Peringgit berhampiran Pasar Melaka Sentral, pagi semalam.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 9 pagi, seorang wanita berjalan kaki di persimpangan jalan berhampiran Melaka Sentral dan Pasar Besar Melaka Sentral.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, warga Indonesia berusia 27 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pangsapuri Peringgit selepas habis bekerja di sebuah kilang berdekatan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, muncul motosikal ditunggang seorang lelaki dari belakang mangsa dan suspek menarik serta menyentap beg tangan mangsa.
“Suspek melarikan beg tangan itu sebelum motosikalnya gagal dikawal lalu terjatuh dan ditahan orang awam yang berada di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, orang awam menghubungi polis dan unit kereta ronda tiba untuk membuat tangkapan.
Shaikh Abdul Adzis berkata, suspek menunggang motosikal Modenas Dinamik dan ketika ditahan, beg tangan mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan pasport berjaya diperoleh.
“Suspek yang berusia 18 tahun berasal dari Bachang, di sini, dan siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah merusuh,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak manakala motosikalnya juga ditahan untuk siasatan lanjut.

-Metro

Monday, February 20, 2017

Penggal kepala tauke restoran



Beijing: Seorang pemilik restoran mi mati dipenggal selepas pertengkaran dengan pelanggannya berhubung harga makanan yang dijualnya.
Dalam kejadian di Wuhan, wilayah Hubei itu, suspek berusia 22 tahun dilaporkan memesan tiga mangkuk mi ketika makan di restoran mangsa, namun tidak berpuas hati dengan harga dikenakan kerana menganggap lelaki terbabit sengaja meminta bayaran satu yuan (65 sen) berlebihan.
Susulan itu, kedua-duanya mula bertengkar sebelum suspek merampas pisau dari dapur restoran berkenaan dan akhirnya memenggal kepala mangsa.
Menurut polis, lelaki itu memenggal kepala mangsa berusia 42 tahun itu dan mencampakkannya ke dalam tong sampah berhampiran.
Polis menerusi akaun mikroblognya turut meminta orang ramai supaya tidak mengedarkan gambar mayat mangsa di media sosial.
Suspek ditangkap di tempat kejadian oleh polis pada Sabtu lalu, lapor Wuhan Evening News.
Sementara itu, rakan pemilik restoran terbabit berkata, mangsa tinggal bersama anak lelakinya berusia 13 tahun sejak bercerai lima tahun lalu.
“Dia seorang yang sangat jujur dan tidak mungkin menipu pelanggannya,” katanya.

-Metro

Sunday, February 19, 2017

Saja cari penyakit



Austin, Amerika Syarikat: Seorang lelaki berdiri di bawah sebuah papan tanda yang hampir jatuh di sebuah pasar raya di sini dengan harapan dia boleh menyaman syarikat berkenaan jika ditimpa huruf papan tanda itu.
Manuel Garcia dirakam berdiri di luar pasar raya Walmart pada 14 Februari lalu di bawah satu huruf papan tanda yang hampir jatuh.
Garcia berdiri di bawah tulisan “Pharmacy Drive-thru”…one” di mana huruf “P” pada papan tanda itu berada dalam keadaan tergantung dan hampir jatuh.
Lelaki itu berharap huruf itu terjatuh dan menimpanya supaya dia boleh menyaman pasar raya berkenaan untuk mendapatkan wang.
Dia dilaporkan berdiri di bawah papan tanda itu selama dua hari tetapi huruf berkenaan tidak jatuh dan masih kekal di tempatnya.
Hasrat Garcia untuk ditimpa huruf berkenaan gagal selepas pihak pengurusan pasar raya menyedari tindakan itu selepas gambarnya menjadi tular di media sosial.
Garcia kecewa selepas pihak pengurusan pasar raya itu segera membetulkan papan tanda berkenaan bagi mengelak ia jatuh.
Sejak gambar lelaki itu dimuat naik di Facebook ia sudah dikongsi lebih 50,000 kali di laman sosial termasuk Twitter dan menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Walaupun ramai pengguna media sosial mengecam tindakan Garcia tetapi ramai juga yang memujinya kerana pandai mengambil peluang.
“Itu satu tindakan bodoh tetapi sekiranya berjaya dia mungkin kaya-raya,” kata seorang pengguna lagi.
Seorang lagi pengguna pula berpendapat, Garcia memiliki sifat seorang usahawan kerana pandai mengambil peluang untuk mendapatkan wang.
“Mengambil peluang daripada setiap situasi untuk mendapatkan wang adalah bakat yang perlu ada pada seorang usahawan yang berjaya,” katanya.

-Metro

Thursday, February 16, 2017

Aksi ekstrem mahukan gambar sempurna



Dubai: Seorang model Russia dikritik kerana mengambil gambar berbahaya dengan bergayut di atas salah satu bangunan pencakar langit tertinggi dunia di Dubai dengan cuma memaut tangan pembantu lelakinya.
Viki Odintcova, 23, terapung di udara dari ketinggian 306 meter di Menara Cayan, Dubai, semata-mata mahu mendapatkan gambar terbaik untuk dikongsikan di Instagram.
Ratu Instagram itu yang mempunyai lebih tiga juta pengikut di media sosial berkenaan memuat naik video itu yang terus menjadi tular.
Ramai peminatnya terkejut kerana dia dilihat tidak langsung menggunakan peralatan keselamatan untuk mengambil gambar berkenaan.
Malah seorang berkata: “Jika saya menjadi ibu bapanya, sudah pasti dia dan rakannya yang berjanggut itu dilempang kerana membahayakan nyawa!” 

- Agensi/Metro

Wednesday, February 15, 2017

Jemaah wanita diculik kini ada dua suami

Istanbul: Selepas hampir 27 tahun hilang disangka meninggal dunia dalam tragedi rempuhan jemaah haji yang mengorbankan kira-kira 1,400 orang ketika melontar pada 1990, seorang wanita Turki didapati diculik dan dipaksa menjadi isteri seorang pekerja perbandaran Makkah.
Menurut portal berita Turki ILKHA, Fahire Kara dari Yontukyaz di daerah Be┼čiri, dekat sini, yang mempunyai 12 anak, menunaikan haji bersama suaminya, Abdurrahman Kara, ketika berusia 47 tahun.
Anak perempuannya, Oner, 42, berkata ibu dan bapanya cedera dalam tragedi rempuhan itu dan bapanya dibawa ke hospital tanpa mengetahui nasib ibunya.
Menurut Euro News, ketika tragedi rempuhan itu, pihak berkuasa Arab Saudi memanggil semua pekerja perbandaran untuk membantu kerja menyelamat dan seorang pemungut sampah dari Yaman dipercayai membawa Fahire pulang ke rumahnya selepas mendakwa dia mahu membawanya ke hospital.
Sebaliknya, Fahire dibawa ke sebuah rumah di Madinah dan dikurung sepanjang masa. Dia hanya dibenar keluar dari rumah ketika melahirkan tiga anak dengan ‘suami’ barunya itu.
Selepas keluar dari hospital, bapanya berusaha mencari ibunya selama beberapa hari namun gagal dengan pihak berkuasa Makkah menyatakan kemungkinan wanita itu terbunuh. Abdurrahman pulang ke Turki dan selepas sekian lama tiada berita mengenai isterinya, dia berkahwin lain.
Menurut Oner, selepas 26 tahun, kenalan keluarga itu yang menunaikan umrah mendakwa berjumpa dengan ibunya yang memberitahu dia mahu pulang ke Turki namun tidak boleh kerana ketiadaan pasport dan dokumen perjalanan lain.
“Kenalan kami memberitahu ibu menyatakan dia diculik pekerja perbandaran di Makkah.
“Ibu diseksa dan dikurung dalam rumah selama 10 tahun. Dia dipaksa berkahwin dengan lelaki itu, mungkin sebagai isteri kedua atau ketiga hingga melahirkan tiga anak,” katanya.
Menurut Oner, kenalan itu memberitahu terserempak dengan ibunya tiga atau empat bulan lalu, yang berniaga barangan cendera mata di sekitar Makkah dan Madinah dengan harapan dapat berjumpa sesiapa dari Turki yang mengenalinya.
“Kami merayu kepada Presiden (Recep Tayyip Erdogan) dan Perdana Menteri (Binali Yildrim) supaya membantu mencari ibu. Tolonglah bantu kami,” katanya.
Menurutnya, ibunya memberitahu sudah beberapa kali memohon kepada konsulat untuk pulang ke Turki namun gagal kerana kisahnya yang dianggap mengelirukan.
Kini, wanita itu terperangkap dengan undang-udang Arab Saudi kerana jika dia mahu meninggalkan Arab Saudi Fahire akan menghadapi dua situasi iaitu memfailkan dakwaan terhadap ‘suami’ barunya yang bermakna bapa kepada tiga anaknya itu akan dihukum bunuh manakala dia sendiri akan dihukum rejam dengan batu kerana berzina.
Menurut Euro News, usaha sedang dilakukan oleh pegawai kerajaan Turki untuk mencari penyelesaian yang membolehkan wanita itu pulang ke Turki tanpa memusnahkan keluarga barunya di Arab Saudi atau menjalani hukuman.

-Metro

Tuesday, February 14, 2017

Rampas mayat kerana hutang


Accra (Ghana): Pekerja sebuah rumah mayat merempuh majlis pengebumian untuk merampas mayat yang hendak dikebumikan kerana keluarga si mati masih belum menjelaskan bayaran pengurusan mayat.
Media melaporkan keluarga terbabit sepatutnya membayar 40 cedi (RM40) untuk perkhidmatannya.
Kerana berang masih belum menerima bayaran itu, pekerja berkenaan dan rakannya merempuh tanah perkuburan ketika mayat hampir dikebumikan.
Mereka kemudian merampas dan memecahkan kerandanya serta mengeluarkan mayat berkenaan.
Dalam klip video yang tular di Internet, dua lelaki itu dilihat membawa mayat itu keluar dari kawasan perkuburan berkenaan.
Bagaimanapun, mayat itu berjaya dikebumikan selepas persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak dengan bantuan rakan dan orang tua kampung itu.

- Agensi/Metro

Monday, February 13, 2017

Lelaki mengamuk sari bini terseret



Hyderabad (India): Rakaman dimuat naik ke Internet menunjukkan seorang lelaki menyerang orang ramai dan memecahkan cermin sebuah beca bermotor menggunakan batang besi selepas isterinya cedera akibat kejadian yang sebenarnya bukan salah sesiapa.
Video yang dirakam di Hyderabad, selatan India, menunjukkan pasangan suami isteri itu menaiki motosikal yang dihentikan di tepi jalan sebelum beca terbabit lalu di belakang mereka.
Malangnya, hujung sari wanita terbabit tersangkut pada roda beca berkenaan menyebabkannya jatuh ke jalan dan terseret.
Pemandu beca itu segera berhenti dan penumpangnya serta orang ramai bergegas membantu wanita berkenaan.
Namun, tiba-tiba suaminya berang dan mula menyerang semua orang termasuk menumbuk dua penunggang motosikal lain.
Seorang penunggang motosikal berjaya melarikan diri sebelum lelaki itu mencapai batang besi dan memecahkan cermin depan beca itu.
Dalam kekecohan itu, wanita terbabit bangun dan pergi ke tepi jalan, seolah-olah tidak mengalami kecederaan.
Rakaman itu tamat dengan lelaki berkenaan tiba-tiba bertenang dan menyerahkan batang besi berkenaan kepada seseorang. 

- Agensi/Metro

Thursday, February 9, 2017

Hampir putus digigit kekasih



Botswana: Seorang wanita menggigit hingga hampir putus buah zakar teman lelakinya berusia 33 tahun ketika mereka bergaduh selepas lelaki berkenaan mempersoalkan kenapa wanita itu lewat pulang dari gereja.
Dalam kejadian di Samuchima, Isnin lalu, lelaki berkenaan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Gumare Primary bagi menyambung semula buah zakarnya itu.
Berikutan itu, polis menahan wanita berusia 31 tahun itu dan menurut Ketua Polis Shakawe, Superintendan Goitsemodimo Molapisi, berkata wanita berkenaan akan didakwa selepas polis mendapat laporan lengkap perubatan lelaki terbabit.
Menurut laporan polis, pertengkaran berlaku selepas lelaki berkenaan mempersoalkan kenapa teman wanitanya pulang sehari lewat dari gereja.
Pertengkaran itu menjadi ganas dan wanita berkenaan menggigit buah zakar mangsa hingga hampir putus.
“Lelaki itu bernasib baik kerana buah zakarnya tidak putus sepenuhnya membolehkan doktor menyambung kembali,” kata Molapisi. - Daily Mail

-Metro

NYPD hina, buli anggota polis bertudung

New York: Seorang anggota polis wanita beragama Islam memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Manhattan mendakwa menjadi mangsa diskriminasi agama, dibuli dan dihina oleh rakan sekerja termasuk digelar ‘pelacur Muslim’ malah ada yang cuba merentap tudung dipakainya.
Menurut NBC News, dalam samannya yang difailkan 2 Februari lalu, Danielle Alamrani, 38, yang menyertai Jabatan Polis New York (NYPD) pada 2006, dan memeluk Islam setahun kemudian, berkata sebaik dia mula memakai tudung, polis lain enggan bekerja dengannya.
Mahkamah diberitahu, pada 2010, seorang sarjan berkata dia berharap Alamrani ‘tidak meletup ketika meronda’ disambut dengan ketawa oleh anggota polis lain.
Pada Krismas 2012, dua anggota polis menyerang Alamrani di balai polis dan cuba merentap tudung dipakainya.
“Mereka menjerit ‘pelacur Muslim’ kepadanya dan ‘saya akan tumbuk muka awak’.
AP melaporkan, Alamrani dalam samannya berkata, hampir setiap hari dia diejek bahawa dia tidak sepatutnya menjadi polis, tidak boleh pakai tudung, tiada siapa mahu bekerja dengannya, memalukan NYPD dan tiada siapa sukakannya. Dia juga digelar pengganas dan Taliban
Wanita itu juga mendakwa dihukum dengan ditugaskan pada shif yang tidak siapa mahu, dikurangkan kerja lebih masa, malah dia serta anak-anak pernah ditahan rakan sendiri selama beberapa jam akibat jiran membuat aduan bising dari rumahnya.
NYPD yang mempunyai kira-kira 900 anggota uniform beragama Islam daripada 35,000 keseluruhan anggota, sebelum ini mengumumkan untuk mengambil ramai lagi rekrut beragama Islam. Ia juga melonggarkan syarat membenarkan anggota polis menyimpan jambang kerana agama dan Alamrani ialah seorang daripada dua anggota polis yang memakai tudung.
Dia memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Persamaan Hak Pekerja pada Disember 2015 dan diberi kebenaran untuk memfailkan saman itu tiga minggu lalu.
“Dia masih bekerja dan cuba melaksanakan tugasnya sebagai anggota polis,” kata peguamnya Jesse Rose.

-Metro

Thursday, February 2, 2017

Kejamnya kamu wahai suami



Mazar-i-Sharif, Afghanistan: Seorang lelaki bertindak kejam memotong telinga kedua-dua isterinya yang berusia 23 tahun ketika kedua-dua mereka sedang tidur.
Wanita itu, 23, yang sedang dirawat di sini, dengan mukanya bengkak akibat dipukul suami, kini berharap mendapat sumbangan untuk rawatan di luar negara.
Zarina yang ditunangkan dengan suaminya itu pada usia 13 tahun dan berkahwin tujuh tahun kemudian, tidak tahu kenapa suaminya bertindak demikian pada tengah malam Selasa lalu, di perkampungan mereka di wilayah Balkh, dekat sempadan Uzbekistan.
"Dia bangun pada 3 pagi, mengikat kaki dan tangan dengan kain tudung saya. Saya merayu kepadanya (jangan berbuat demikian) namun tidak diendahkan,” katanya yang ditemui di hospital.
Menurutnya, suaminya menumbuk mukanya beberapa kali, mengambil pisau dan memotong kedua-dua cuping telinganya sebelum keluar dari rumah.
Zarina terpaksa menanggung kesakitan sepanjang malam sehingga ditemui jiran pada sebelah pagi dan membawanya ke rumah saudaranya sebelum dibawa ke hospital di Mazar-i-Sharif, bandar utama wilayah Balkh.
“Dia tiba pada 9.30 pagi dengan kedua-dua cuping telinga tiada. Dia dalam keadaan terkejut selain kehilangan banyak darah,” kata pengarah hospital, Dr Shafir Shayek.
Menurut Zarina, dia tahu kenapa suaminya bertindak demikian kerana tidak pernah membantahnya, walaupun tidak dibenarkan menziarah ibunya kerana bimbang wanita itu ‘bertemu lelaki lain’.
“Dia amat tidak sopan, kasar. Bila marah dia pukul seseorang walaupun bapa, ibunya sendiri,” katanya.
Menurut sumber hospital, lelaki itu dipercayai penagih dadah tetapi tidak diketahui jenis dadah.
Lelaki itu masih menghilangkan diri dan pihak berkuasa sedang mengesannya.
Kejadian yang menimpa Zarina antara ratusan, mungkin ribuan kes kekejaman terhadap wanita di Afghanistan.
Pada Januari 2016, seorang wanita, Reza Gul, 20, dipotong hidungnya oleh suami selepas perbalahan di rumah mereka di Faryab, utara negara itu. Tahun lalu, seorang lelaki membakar isteri berusia 14 tahun yang sedang hamil di wilayah Ghor dan wanita itu mati di hospital di Kabul.


-Metro