“Sebagai tambahan sekiranya si lelaki itu tidak bekerja tetap maka adik-beradik lelaki itu termasuk ibu bapanya hendaklah diberitahu supaya mereka wajib memberi nafkah kepada anak-anak saudara dan cucu-cucunya. Kerana itu menjadi tanggungjawab mereka menurut Islam. Bukan tanggungjawab isteri dan keluarganya.’’ Itu tegas Norelyna dalam e-melnya.

“Saya cukup hairan mengapa kaum lelaki liat nak bagi nafkah anak-anak selepas bercerai. Tetapi peliknya bila bab pemberian harta pusaka ditakdirkan si lelaki itu mati dan dia ada tinggalkan harta, seperti rumah, duit insurans, duit KWSP dan sebagainya, maka si ibu serta adik-beradik si lelaki yang mati tadi berebut hendakkan bahagian mereka. Tetapi bila bab menjaga anak-anak saudara yang ditinggalkan mereka menyerahkan bulat-bulat kepada si balu.

“Di mana silapnya? Pada pandangan saya, isu ini berbalik kepada pejabat agama sendiri, kadi yang menikahkan dan mereka yang mengendalikan kursus-kursus perkahwinan. Sebagai contoh, cuba dengar ucapan kadi di majlis pernikahan, tak pernah sebutkan isu nafkah jika berlaku perceraian, semua cerita pasal layanan isteri pada suami dan suami kepada isteri dan tentang isu dalam kelambu sahaja. Bab tanggungjawab kalau cakap pun amat pendek.

“Sebabnya kerana kadi nak cepat, banyak lagi pasangan yang hendak dinikahkan. Kedua, ibu bapa pengantin perempuan mahu kalau boleh majlis ringkas sebab jamuan makan sudah tersedia dan tetamu dah datang. Ketiga, pihak lelaki beri alasan anaknya gugup kalau kadi banyak soal dan lambat, takut anaknya tak boleh jawab, takut lafaz nikah tak lancar. Keempat keluarga beritahu anak mereka dah tahu tanggungjawab sebab dah berkursus.

“Apabila semua pihak serahkan soal penerangan tentang tanggungjawab suami dan isteri kepada kursus perkahwinan, dah ada sijil dan cukup syarat untuk nikah, maka mereka ambil isu penerangan tentang tanggungjawab suami kepada anak-anaknya jadi remeh.

“Oleh sebab itu, kita biasa dengar suami isteri bertelingkah selepas berkahwin, biasanya suami paksa isteri melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dengan alasan gaji kecil, tak ada kerja tetap dan gaji tak cukup kerana banyak hutang, terpaksa tanggung ibu dan adik-beradik di kampung dan sebagainya.

“Masalah dalam rumah tangga boleh di atasi jika si suami berterus terang kepada isteri tentang tanggungjawabnya sebelum berkahwin, terpulang kepada wanita tadi jika dia sanggup dan sedia berkorban bersama suaminya ketika susah senang.

“Pada pandangan saya jika wanita itu ikhlas maka dia sedia berkorban, tetapi jangan permainkan kesetiaannya dan pengorbanannya setelah dia mencurahkan segala tenaga dan baktinya kepada suami. Sebagai contoh, masa susah suami berterus terang, tetapi setelah berduit dia lupakan isterinya dan mula hendak enjoy. Ataupun berbohong membantu keluarga di kampung, padahal duitnya dihabiskan berjoli atau untuk kekasih gelapnya.

“Saya bercakap tentang diri saya sendiri, masa berkahwin saya diminta suami berkorban kerana dia terpaksa bantu adik-adiknya yang masih menuntut. Habis dua adiknya, tambah pula anak kakaknya yang perlukan bantuan. Saya yang setia percaya habis, rupanya lepas adiknya dia enjoy sendiri. Cerita bantu anak saudaranya cuma bohong supaya saya terus membantunya mengurus belanja makan minum keluarga dan bayar sewa rumah.

“Penipuannya terbongkar bila satu hari raya kakaknya minta saya pinjamkan duit kerana dia hendak beri pada anaknya yang hendak masuk universiti. Katanya dia juga teringin hantar anaknya mendaftar ke Kedah nanti. Dia minta pinjam RM500. Kerana hairan saya tanya dia kembali, kenapa tak minta adiknya (suami saya)? Katanya, suami saya susah nak buat kira dan kedekut. Pada adik-adiknya pun dia beri ala kadar bila diminta, dengan emak pun dia beri bila emak minta. Sebab tu dia malas nak minta tolong. Oleh kerana katanya saya ramah dan sering beri dia duit bila balik kampung, maka dia berani buka mulut untuk pinjam.

“Terkejut beruk saya. Tapi saya tak cerita pula suami saya “bercerita” dia beri duit untuk anak kakaknya setiap bulan. Cerita itu saya simpan dalam hati, dan saya berjanji akan bantu kakak ipar saya itu pada bulan berikutnya. Oleh kerana dia minta saya jangan cerita pada suami, maka saya minta dia kunci mulut tentang bantuan saya.

Penyiasatan

“Dalam diam saya perhatikan dan selidik apa sebenarnya suami saya buat dan ke mana perginya duit yang dikatakan dikirim kepada adik-adik dan emaknya setiap bulan. Ketika itu anak saya sudah ada dua. Saya lihat suami taklah selalu keluar malam, jadi saya tak boleh tuduh dia berjoli. Tetapi mengapa dia sering kata tak ada duit, sedangkan pendapatan kami lebih kurang sama banyaknya. Kalau saya berbelanja banyak untuk keluarga, apa yang dia buat?

“Sejak penipuannya terbongkar, saya mula jalankan penyiasatan, dalam diam saya cari kalau dia berbelanja makan di restoran mewah, pakai kad kredit atau sebagainya. Lama juga saya mencari tapi gagal. Tetapi satu hari saya ternampak slip kad kredit, terkejut juga sebab selama ini saya tak pernah tahu dia ada kad kredit.

“Sepantas kilat saya ambil gambar gunakan telefon, setelah saya salin nombor, tarikh dan nama kedai, saya padamkan gambar tersebut. Rupanya dia beli tudung wanita yang berjenama tiga helai berharga lebih RM500. Dia tak belikan untuk saya? Jadi untuk siapa? Kalau simpan untuk hari jadi saya, tak mungkin sebab sudah terlepas dan tak ada hadiah istimewa selain sekotak coklat yang diberikan dan kami kongsi makan dengan anak-anak.

“Keraguan saya semakin menjadi-jadi. Mulalah fikiran saya meracau dia ada kekasih gelap. Takkan dia tolong belikan untuk kawan pejabatnya. Kalau betul mesti itu kekasih gelapnya. Kerana mahu lebih banyak bukti saya diamkan diri. Dalam pada itu saya mula kurangkan belanja bulanan saya. Kalau dulu saya yang ambil dan hantar anak ke taska, kini saya suruh suami ambil waktu petang, alasan saya ada kerja lebih. Sebulan dia mula merungut kerana dia pun banyak kerja. Jadi saya suruh dia hantar sebelah pagi saya ambil petang.

“Kemudian saya minta dia beli lauk di luar supaya saya tak perlu masak dan tak perlu banyak berbelanja ke pasar raya. Begitulah saya buat hingga dia bosan dan marah kerana keluar duit banyak beli makanan dan petrol. Bila marah dia tuduh saya mengundang masalah keluarga. Lantas saya tanya, tanggungjawab siapa tanggung nafkah keluarga?

“Jangan beri alasan tanggung adik-adik, mereka dapat PTPTN boleh berdikari jika berjimat. Lantas saya tanya sejak bila dia guna kad kredit tanpa pengetahuan saya? Dia terdiam. Saya sudah dapat semua bukti serta kekasih gelapnya, jika dia mengelak saya akan dedahkan. Kalau dia ada kawan, saya pun ada kawan yang boleh tolong dapatkan bukti.

“Sejak hari itu kami “perang dingin”. Saya terpaksa terus terang kerana saya mahu selamatkan rumah tangga kami. Saya boleh bersabar jika dia beri duit untuk ibunya, atau bantu saudaranya, tetapi saya tak boleh maafkan jika dia berbelanja untuk kekasih gelapnya. Saya akan salahkan dia jika rumah tangga kami hancur. Saya berkorban segalanya untuk dia, tetapi apa balasannya? Saya mahu dia insaf dan sedar kesilapannya.

“Memang bukan mudah suami mengaku kesilapanya. Sejak itu dia sentiasa cari kesalahan saya. Pertama bila saya kurangkan perbelanjaan saya dan mahu dia menyumbang kerana sejak kahwin tugas beli barang makan dan minum dibebankan ke bahu saya. Dia sudah “lemak” kerana selama ini saya banyak membantunya. Dan saya sedar dia tidak akan mengaku silapnya, sebaliknya akan terus mencari hiburan dengan kekasih gelapnya yang saling berganti. Mungkin bukan untuk kahwin lagi, tetapi untuk hiburan kerana berasa dirinya laku di pasaran.

“Kerana itu juga kini saya semakin mengetatkan perbelanjaan kewangan saya. Saya tak boleh mewah berbelanja sebaliknya saya perlu simpan duit untuk hari tua dan anak-anak. Mungkin hari ini suami saya tak kahwin, kerana saya masih muda belum 35 tahun. Tetapi siapa tahu jika dia kahwin di sempadan setelah saya berusia 50 tahun. Sedangkan ketika itu saya tidak ada simpanan. Jadi saya mesti ambil langkah berjaga-jaga ketika masih muda.’’ Itu cerita Norelyna tentang persiapan masa depan kerana jodoh bukan dia yang tentukan.