Wednesday, August 2, 2017

Tiga lelaki Britain dituduh rogol wanita Malaysia

SINGAPURA – Tiga lelaki Britain dibicarakan di Singapura semalam kerana didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun semasa berada di pulau berkenaan untuk menyertai parti bujang.
Khong Tam Thanh, 22, Le Michael, 24, dan Vu Thai Son, 24, berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan sekiranya didapati bersalah memperkosa wanita Malaysia itu ketika mangsa mabuk dan tidak sedarkan diri selepas berseronok pada lewat malam.
Ketiga-tiga warganegara Britain berketurunan Vietnam itu menafikan tuduhan terbabit.
Dalam hujah pembukaan, pihak pendakwa raya berkata, defendan berada di Singapura pada September lalu untuk menyertai parti bujang dan menghadiri festival muzik elektronik dikenali sebagai Ultra Singapore.
Bakal pengantin lelaki yang merupakan abang kepada Tam Thanh turut serta dalam rombongan tersebut.
Mereka berkenalan dengan mangsa di sebuah kelab malam popular di pulau itu semasa dia sedang berparti bersama seorang rakannya.
Mangsa kemudian bersetuju mengadakan hubungan seks dengan rakan mereka, seorang rakyat Britain berketurunan Vietnam yang dikenali Richard Ahn di bilik hotelnya.
Selepas mereka mengadakan hubungan kelamin, Tam Thanh, Michael dan Thai Son bergilir-gilir masuk ke bilik dan merogol wanita itu ketika dia sedang mabuk,” kata Timbalan Pendakwa Raya, G.Kannan kepada Mahkamah Tinggi Singapura.
Mangsa tinggal di Johor Bahru dan namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identitinya. – AFP/Kosmo


No comments:

Post a Comment