Wednesday, August 23, 2017

'Talak aniaya wanita'


New Delhi: Mahkamah Agung India semalam memutuskan perceraian oleh lelaki Muslim yang menjatuhkan talak tiga secara sekaligus sebagai melanggar perlembagaan, seterusnya memberi kemenangan kepada wanita Muslim yang sudah lama mendakwa amalan itu diskriminasi terhadap mereka.
Amalan itu melihat lelaki Muslim di negara berkenaan menceraikan isteri mereka dengan menyebut talak sebanyak tiga kali - termasuk melalui Skype serta Whatsapp - yang sering digunakan untuk menganiaya wanita selepas harta mereka dirampas suami dan keluarga mentua.
Susulan penghakiman itu, kerajaan kini perlu merangka undang-undang perceraian baru, sekali gus menghapuskan amalan talak tiga sekaligus itu dengan menjadikannya haram di sisi undang-undang.
Salah seorang plaintif kes itu, Shayara Bano yang mengalami nasib seperti itu menyuarakan rasa lega dengan keputusan mahkamah tertinggi India itu.
“Akhirnya, saya rasa lega. Perintah ini akan mempertahankan hak ramai wanita Muslim di negara ini,” katanya.
Kes itu didengar panel lima hakim dari kepercayaan agama berbeza - Hindu, Kristian, Islam, Sikh dan Zoroastrianisme (antara agama monoteistik tertua di dunia).
Tiga daripada lima hakim terbabit memutuskan amalan itu melanggar perlembagaan.
Susulan itu, ketua hakim negara mengumumkan penggantungan amalan berkenaan dan meminta kerajaan membuat undang-undang baru dalam tempoh enam bulan.
Amalan talak tiga sekaligus itu turut diharamkan di beberapa negara Islam termasuk Pakistan dan Arab Saudi.
Bantahan terhadap undang-undang itu mendapat sokongan Perdana Menteri Narendra Modi dan parti nasionalis Hindunya, yang mahu ia dibatalkan.
Bagaimanapun, sebilangan kumpulan Muslim menganggap kerajaan tiada hak mencampuri isu berkaitan agama Islam.
Penganut Islam membentuk kira-kira 14 peratus daripada 1.3 bilion penduduk India.
Kaum wanita Muslim sudah beberapa dekad berusaha menghapuskan amalan itu, namun cuma tahun lalu benar-benar mendapat sokongan kuat selepas Modi menyatakan simpati dan sokongan terbuka terhadap Shayara apabila menyelarnya sebagai penghinaan dan diskriminasi terhadap wanita.
Keputusan semalam sekali gus merangsang parti pemerintahan Modi untuk berusaha menyeragamkan undang-undang sivil di negara itu, yang akan menamatkan penerapan undang-undang keagamaan bagi isu sivil.
“Mahkamah Agung mempunyai hak untuk campur tangan dalam masalah peribadi dan sudahpun berbuat demikian,” kata Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Maneka Gandhi.
India membenarkan institusi keagamaan mentadbir masalah berkait undang-undang peribadi seperti perkahwinan, perceraian serta harta pusaka menerusi kod sivil yang direka untuk melindungi kebebasan masyarakat beragama.

-Metro

No comments:

Post a Comment