Monday, July 7, 2014

Pasaran gelap untuk kerusi roda, air zamzam menjadi-jadi


JEDDAH 7 Julai - Penjualan air zamzam dan kos menyewa kerusi roda melambung tinggi dalam pasaran gelap di sini sempena kedatangan bulan Ramadan, menyebabkan rungutan dalam kalangan jemaah.

Seorang jemaah, Faisal Al-Saadi yang ditemu bual Saudi Gazette memberitahu, dia kerugian sebanyak 150 riyal (RM127) kerana menyewa kerusi roda untuk anaknya selepas ditipu seorang lelaki.

"Lelaki itu memberitahu saya, saya akan diberi keistimewaan menggunakan laluan yang tidak sesak jika seorang daripada ahli keluarga saya menaiki kerusi roda.

"Jadi saya menyewanya untuk anak saya yang sihat," katanya.

Faisal berkata, dia sedar dirinya ditipu selepas gagal mencari individu itu semasa mahu memulangkan kerusi roda tersebut.

"Saya kemudian mendapat tahu, kerusi roda itu sebenarnya disediakan secara percuma kepada para jemaah di Masjidilharam," ujarnya.

Pegawai bertanggungjawab di Masjidilharam, Nasir Mohammed Al-Obaidi berkata, kerusi roda boleh didapati secara percuma di pejabat berhampiran dengan Bukit Safa, tetapi penyewa perlu mengisi borang.

Selain perkhidmatan kerusi roda, individu tertentu turut mengambil kesempatan menjual air zamzam pada harga mahal sehingga mencecah 15 riyal (RM12) berbanding harga sebenarnya, 5 riyal (RM4.20).

Jemaah umrah, Hussain Bahrawi berkata, oleh kerana keletihan dan tidak mahu beratur panjang untuk membeli air zamzam di sebuah kilang, dia membeli minuman tersebut pada harga mahal daripada penjual haram di luar kilang berkenaan.

-Utusan

No comments:

Post a Comment