Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, berdasarkan carian pantas di Google Image menunjukkan beberapa gambar berkenaan merupakan gambar stok enjin carian itu.
Hakikatnya, kata laporan akhbar itu, imej foto yang menunjukkan satu dulang yang mengan­dungi enam utas jam tangan Rolex dikongsi secara meluas dalam media sosial terdapat dalam laman Pinterest sementara imej beg yang berisi susunan wang tunai mata wang dolar Amerika Syarikat adalah bertarikh Jun 2016 iaitu wang hasil kes rompakan yang pernah berlaku di negara itu.
Paling tersebar luas adalah foto 27 beg pelbagai warna Hermes Birkin yang diletakkan dengan kemas di lantai ruang tamu.
Foto ini sebelum ini pernah dikongsi dalam halaman Facebook Sarawak Report iaitu gambar yang tidak disahkan sama ada beg berjenama milik isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggarkan bernilai RM20 juta atau milik orang lain.
Semalam, kedai barangan mewah dari Singapura, Shopfirstluxury mengesahkan bahawa gambar itu sebenarnya telah diambil di bilik pameran mereka.
“Jika sesiapa menerima gambar tular ini, tolong jangan sebarkannya lagi. Dalam era maklumat pantas sekarang, marilah kita menjadi pembaca berita yang lebih bertanggungjawab dan berfikir dua kali sebelum berkongsi dengan rakan-rakan dan ahli keluarga,” kata Shopfirstluxury seperti yang ditulis dalam Instagram.
Laporan akhbar itu turut me­nyatakan bahawa foto yang menunjukkan koleksi beg tangan mewah menjadi tular beberapa hari lalu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah serentak dengan beberapa ahli PPBM membuat laporan polis yang mendakwa mereka memiliki maklumat mengenai 50 beg tangan Hermes Birkin cuba diselin­dung dan diangkut di sebuah kediaman mewah Kuala Lumpur yang didakwa milik Rosmah.
Polis telah menggeledah enam premis yang berkaitan dengan Najib dalam siasatan mereka membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak 16 Mei lalu.

-utusan