Sunday, June 1, 2014

JKM cari ibu bapa Nur Qalesya Husna


KUALA SELANGOR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Selangor memohon kerjasama orang ramai supaya dapat membantu mencari ibu bapa atau waris kepada seorang kanak-kanak yang kini masih di bawah jagaan jabatan itu.

Penolong Pegawai JKM, Hamzalina Haris berkata, seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui di pekarangan Rumah Tunas Harapan Kuala Selangor ketika masih bayi dengan hanya balutan kain berwarna merah jambu dan tasbih.

Menurutnya, kanak-kanak itu ditinggalkan keluarganya pada 8 November 2011 pada jam 11.45 malam manakala orang awam yang menemuinya terus membawa ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan lanjut.

“Kanak-kanak perempuan itu diberi nama sementara sebagai Nur Qalesya Husna dan tarikh lahir dianggarkan pada 7 November 2011 berikutan dilahirkan secara sendiri kerana tali pusatnya diikat mengunakan benang...tidak seperti yang diuruskan pihak hospital.

“Sehingga kini, waris atau ibu bapanya masih gagal dikesan untuk menuntut semula hak penjagaan kanak-kanak perempuan itu yang kini sudah berusia dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamzalina menjelaskan, sebaran media perlu dilaksanakan beberapa kali sebagai makluman kepada orang ramai mengenai status kanak-kanak perempuan itu sekiranya ada waris terdekat yang ingin menuntut hak penjagaan.

“Prosedur ini amat penting sebelum JKM mengambil keputusan untuk menyerahkan kanak-kanak perempuan itu kepada keluarga angkat yang sudi menjaganya seperti anak sendiri.

“Sekiranya dalam tempoh sebaran media ini tiada sesiapa yang tampil membuat tuntutan samada ibunya atau waris terdekat yang mengesahkan ada pertalian dengan kanak-kanak perempuan ini tindakan lanjut akan diambil.

“Kemungkinan kita akan menyerahkan kepada keluarga angkat yang dipilih,” katanya yang memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 03-32891495 dengan segera.

-Sinar

No comments:

Post a Comment