Thursday, June 30, 2016

Dituduh cabul 16 budak perempuan



Denpasar, Bali: Perbicaraan lelaki Australia berusia 69 tahun yang mencabul 16 budak perempuan dari keluarga miskin di sini, dengan menawarkan makanan, pakaian serta ganjaran lain sebagai balasan memandikan mereka, bermula hari ini.
Robert Ellis dari Melbourne, didakwa di Mahkamah Daerah Denpasar melakukan perbuatan tidak senonoh dengan mencabul mangsa berusia antara sembilan hingga 15 tahun pada 2014 dan 2015.
Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.
Menurut pendakwa raya, dia membawa mereka ke bilik penginapannya di Tabanan, dekat Kuta, selepas menawarkan hadiah dan di sana, dia memandikan mangsa malah dalam satu kejadian, memandikan tiga mangsa serentak sebelum membawa mereka membeli pakaian.
Dalam perbicaraan tertutup itu, pendakwa raya berkata, dia juga memberi mereka wang 200,000 rupiah ($A20).
Peguamnya, Benny Hariyono, berkata anak guamnya tidak berniat mencabul mangsa, hanya memandikan mereka dan tidak melakukan sentuhan yang disengajakan.
Hariyono berkata, budak perempuan terbabit memerlukan wang dan anak guamnya tidak mencabul mereka atau menyentuh bahagian sulit mangsa.
“Robert tidak memaksa mereka, dia hanya bertanya jika mereka mahu bersiar-siar, perlu mandi terlebih dahulu,” katanya di luar mahkamah.
Seorang mangsa yang kini berusia 17 tahun dengan nama kod W, memberitahu mahkamah dia bertemu Ellis ketika berusia 10 tahun dan mandi di depan lelaki itu namun Ellis tidak menyentuhnya.
Menurutnya, dia dibayar 200,000 rupiah yang digunakan untuk membayar sewa rumah keluarganya dan selepas itu, dia membawa beberapa lagi budak perempuan berjumpa Ellis. W dan ibunya diberi hadiah motosikal oleh Ellis.
Perbicaraan ditangguhkan kepada 14 Julai ini.

-Metro

No comments:

Post a Comment