Jakarta: Sebuah restoran unik yang bertemakan jamban di Semarang, Jawa Tengah dekat sini viral di Internet selepas gambar premis itu dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.
Gambar restoran yang dikenali sebagai Kafe Jamban itu dimuat naik di Facebook baru-baru ini dan viral di Internet dalam tempoh yang singkat.
Restoran itu menghidangkan makanan dan minuman di dalam mangkuk tandas dan pengunjung juga duduk di atas jamban duduk yang dijadikan kerusi.
Sejak dimuat naik di Facebook, restoran itu mendapat pelbagai komen negatif daripada pengguna yang rata-rata tidak berminat untuk mengunjungi kafe berkenaan.
“Ini sangat menjijikkan. Ini tempat orang buang hajat bukannya tempat meletakkan makanan,” kata seorang lagi pengguna.
Bagaimanapun, pemilik restoran itu yang juga doktor, Budi Laksono berkata, pembukaan kafe itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan kemudahan tandas.
Menurutya, Kafe Jamban itu adalah sebahagian kempen dikenali sebagai WC4ALL di Jawa Tengah bagi mencari dana membina tandas untuk penduduk miskin.
Menurutnya, kira-kira 20 juta penduduk di Indonesia masih tidak mempunyai kemudahan tandas yang sempurna yang menjadi punca kepada penyebaran pelbagai jenis penyakit.
Budi juga memberi jaminan bahawa makanan yang dihidangkan di restoran miliknya itu bersih dan selamat dimakan.
“Makanan di sini dijamin bebas kuman tidak seperti makanan di restoran lain yang dibiarkan dihinggapi lalat dan terkena debu,” jelasnya.
-Metro
No comments:
Post a Comment