Wednesday, May 14, 2014

Puasa 15 tahun dapat 'ijazah'


BUTTERWORTH - Seorang pengasas pusat perubatan tradisional yang mengaku dirinya sebagai ketua wali dan boleh menyeru roh Nabi Muhammad SAW serta malaikat menerusi perantara, ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.30 malam, pengasas pusat perubatan yang digelar ustaz berusia 46 tahun itu, ditahan bersama seorang lelaki dan dua wanita di sebuah rumah teres di Permatang Pauh.

Ketua Unit Operasi Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, seorang wanita yang ditahan bertindak sebagai perantara dalam keadaan separa sedar, mendakwa ustaz terbabit merupakan insan terpilih yang memiliki keistimewaan berinteraksi dengan roh termasuklah Saidina Ali.

Pusat rawatan tradisional itu menyediakan pengijazahan tenaga dalam dan perubatan dengan bayaran fidyah sebanyak RM950.

"Individu yang tidak mampu berpeluang mendapat ijazah itu dengan berpuasa selama 15 tahun tanpa henti walaupun pada hari tasyrik (hari diharamkan berpuasa).

“Kita dapati syarat yang dikenakan bertentangan dengan ajaran Islam dan serbuan dibuat bagi mengelakkan lebih ramai terjebak dalam kegiatan ini. Berdasarkan siasatan awal, seorang lagi lelaki yang ditahan berusia 41 tahun, menguruskan cawangan pusat perubatan terbabit yang beroperasi di Seberang Jaya,” katanya.

Suspek ditahan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 4 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 kerana mengamalkan dan menyebarkan doktrin palsu serta mengikut Seksyen 6 dan 13 enakmen yang sama kerana menggelar diri sebagai wali dan memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Seorang lagi lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia 40 dan 32 tahun, didakwa di bawah Seksyen 43 enakmen sama atas tuduhan bersubahat.

Khairul Azman berkata, berdasarkan brosur diedarkan, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan diwajibkan membawa sekilogram limau nipis, garam kasar dan lada hitam.

"Tiada pengeras dan pesakit bebas bersedekah atau hadiah kepada ustaz.

“Berdasarkan risikan penguat kuasa sejak enam bulan lalu, pusat perubatan ini disyaki menyediakan rawatan bagi penyakit berkaitan roh dan saka bertentangan hukum syarak.

“Segala peralatan dan kelengkapan digunakan bagi tujuan perubatan seperti cincin, minyak wangi termasuk beberapa buku disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

-Sinar

No comments:

Post a Comment