Thursday, September 24, 2015

Mohon monyet diberi hak cipta gambar selfie


San Francisco (Amerika Syarikat): Sebuah pertubuhan hak asasi haiwan memfailkan saman di sebuah mahkamah di sini bagi mengisytiharkan seekor monyet diberikan hak milik gambar selfie yang dirakamnya sendiri.
Pertubuhan Layanan Beretika untuk Haiwan (PETA) memohon supaya monyet itu diberikan hak terhadap gambar selfie yang dirakamnya di Indonesia pada 2011. Monyet yang dikenali sebagai Naruto itu merakam gambar selfienya menggunakan sebuah kamera yang dipasang jurugambar Britain, David J Slater. PETA menuntut mahkamah mengisytiharkan Naruto adalah jurugambar dan pemilik yang sah gambar berkenaan.
Pertikaian hak milik gambar itu tercetus pada tahun lalu selepas sebuah laman sesawang, Wikimedia Commons menyiarkan semula gambar selfie itu dengan label milik umum. Slater kemudian meminta Wikimedia memadamkan gambar itu kerana mendakwa imej berkenaan adalah miliknya. “Saya yang memasang kamera dan monyet itu hanya menekan butangnya,” kata Slater.
Bagaimanapun, Wikimedia enggan memadamkan gambar itu dengan alasan ia bukan milik Slater kerana dia tidak merakamkan imej berkenaan sendiri. PETA dalam satu kenyataan menegaskan bahawa, undang-undang di Amerika Syarikat tidak menghalang haiwan memegang hak cipta. “Naruto sendiri yang merakamkan gambar, oleh itu haiwan berkenaan memegang hak terhadap imej berkenaan sama seperti manusia,” katanya. - Agensi


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80021#sthash.kMfkiGGm.dpuf

No comments:

Post a Comment