Thursday, January 21, 2016

Kena jel 4 tahun aniaya isteri


Kangar: Peniaga sate dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, kerana melakukan hubungan seks tanpa kerelaan isterinya pada 2014. Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas menolak rayuan tertuduh, Mahathir Abu Bakar, 25, terhadap hukuman penjara setahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada tahun lalu atas pertuduhan yang sama. Tertuduh bagaimanapun bebas daripada hukuman penjara enam tahun atas tuduhan bersubahat dengan seorang remaja lelaki untuk merogol isterinya itu pada tahun yang sama.
Mengikut kertas pertuduhan, Mahathir didakwa bersubahat dengan seorang remaja lelaki merogol isterinya yang ketika itu berusia 19 tahun di dalam sebuah rumah di Kampung Belat Raja, Jalan Tambun Tulang, Arau, jam 3.15 petang, pada 1 Januari 2014. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya untuk melakukan persetubuhan dengan mangsa di tempat, masa dan tarikh sama. Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 kanun sama dan Seksyen 375A kanun sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Fatin Hayati Abd Rahman.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109288#sthash.H4qP9KJS.dpuf

No comments:

Post a Comment