Wednesday, December 7, 2016

Kejutan bawa maut



Brasilia: Niat bakal pengantin perempuan membuat kejutan di hari perkahwinannya bertukar malang apabila helikopter dinaiki terhempas beberapa minit sebelum mendarat untuk majlisnya menyebabkannya terbunuh serta-merta bersama tiga yang lain.
Jururawat, Rosemeire Silva Nascimento, 32, merancang membuat kejutan untuk bakal suami Udirley Narques Damasceno, 34, dan 300 tetamu diundangnya dengan menaiki helikopter ke majlis perkahwinannya yang diadakan di Recanto Beija-Flor di Sao Lourenco da Serra, sebuah kawasan mewah di pinggir bandar Sao Paulo.
Menurut perancang perkahwinan, Carlos Eduardo Batista, pengantin lelaki tidak dapat menerima berita kematian bakal isterinya itu.
“Setiap bakal pengantin mempunyai impian untuk melakukan sesuatu yang luar biasa pada hari bersejarah mereka.
“Begitu juga Rosemeire yang mahu hadir ke majlis perkahwinannya dengan menaiki helikopter tanpa diketahui sesiapa.
“Namun saya mula rasa tidak sedap hati apabila helikopter itu tidak muncul sehingga jam 4 petang, iaitu waktu majlis dijadualkan bermula. Saya menghubungi syarikat helikopter dan pemiliknya berkata, ia sepatutnya sudah mendarat,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian dihubungi semula pemilik terbabit memaklumkan mengenai nahas itu.
Antara mangsa yang turut terbabit dalam nahas itu ialah abang Rosemeire, Silvano Nascimento da Silva, jurugambar perkahwinan, Nayla Cristina Neves Lousada, yang hamil enam bulan dan juruterbang, Peterson Pinheiro.
Helikopter model Robinson R44 itu terhempas di kawasan hutan berhampiran padang bola sepak tempat ia sepatutnya mendarat.
Sementara itu, saksi, Rubens Pires, 36, berkata, helikopter itu berputar seolah-olah mencari tempat mendarat sebelum terhempas ke kawasan hutan.

-Metro

No comments:

Post a Comment