Monday, March 13, 2017

Pilih kena rotan



Aceh: Dua penduduk beragama Buddha secara suka rela memilih dihukum mengikut undang-undang syariah selepas didapati bersalah kerana berjudi.
Ratusan penduduk di Aceh Besar berkumpul di Masjid Al Munawaroh baru-baru ini bagi melihat enam pesalah termasuk dua lelaki beragama Buddha berkenaan dihukum sebat kerana melanggar undang-undang syariah.
Kedua-dua lelaki berusia 57 dan 60 tahun itu dihukum sebat sembilan kali kerana didapati bersalah berjudi sabung ayam.
Seorang lelaki Islam berusia 35 tahun pula dihukum sebat 10 kali juga didapati bersalah kerana berjudi.
Aceh menguatkuasakan undang-undang syariah selepas mendapat kuasa autonomi dan setiap penduduknya termasuk yang berlainan agama mematuhinya.
Bagaimanapun, orang yang bukan Islam yang didapati bersalah melakukan jenayah boleh memilih untuk dihukum mengikut undang-undang syariah atau kanun jenayah negara itu.
Kesalahan berjudi mengikut undang-undang kanun jenayah boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda Rp25 juta (RM8,337).
“Dengan menerima hukuman mengikut undang-undang syariah, kedua-dua mereka ini secara suka rela mahu disebat,” kata pendakwa raya Aceh Besar, Aziz yang dipetik Jakartapost.
Pesalah bukan Islam pertama yang dihukum mengikut undang-undang syariah di Aceh adalah seorang lelaki yang disebat pada pertengahan 2016 kerana menjual arak.
Sementara itu, Aziz memberitahu, seorang guru agama dihukum sebat 112 kali kerana mencabul tiga pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun.
Darmawan AB Abdullah, 41, pada mulanya dijatuhi hukuman sebat 120 kali tetapi dikurangkan kerana hakim menimbang tempoh dia ditahan.
“Pesalah melakukan perbuatan keji ini di lokasi dan masa yang berbeza,” katanya.

-Metro

No comments:

Post a Comment