Tuesday, March 14, 2017

Tidak mengaku salah rogol ibu


Taiping: Seorang pekerja kilang berusia 21 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, bagi menghadapi tuduhan merogol ibu kandungnya pada 8 Mac lalu.
Tertuduh yang bekerja di sebuah kilang tayar di sini, didakwa melakukan kesalahan terhadap ibunya yang berusia 49 tahun di rumah mereka di Kamunting di sini, kira-kira jam 7 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol seseorang wanita yang hubungan mereka tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan minta dibicarakan.
Timbalan Pendakwa Raya Safiyatun Ahmadun membantah sebarang jaminan diberi kepada tertuduh kerana mangsa adalah ibu kandungnya sendiri dan mereka tinggal serumah yang jika dibenarkan, tertuduh mungkin mengganggu mangsa.
Lelaki itu melalui peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Kathan Maruthamuthu, yang mewakilinya meminta mahkamah membenarkan jaminan yang rendah dengan alasan mempunyai pendapatan RM1,100 sebulan.
Hakim Mohd Sabri Ismail kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Harian Metro pada 9 Mac lalu, melaporkan seorang janda anak lima dirogol anak lelaki kandungnya.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah dipetik sebagai berkata, polis menerima aduan daripada seorang suri rumah yang mengadu di rogol anak kandungnya dan susulan itu, polis menahan suspek berusia 21 tahun yang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang tayar di Taiping.

-Metro

No comments:

Post a Comment