Thursday, June 8, 2017

'Bas Pelancong' keliling Madinah


Madinah: ‘Bas Pelancong’ melakukan perjalanan ujian pertamanya di bandar suci ini, kelmarin.
Sebuah syarikat yang pakar mengenai pelancongan akan mengendalikan bas berkenaan bagi pihak Lembaga Pembangunan Al-Madinah Al-Munawarah.
Pegawai perhubungan awam lembaga itu, Fahad Al-Bayti berkata, perjalanan julung kali itu yang disertai wakil media, ahli perniagaan dan wanita adalah sebagai persiapan untuk pelancaran rasmi projek berkenaan dalam masa beberapa hari lagi.
Menurutnya, peserta memuji kelengkapan yang digunakan dan acara yang diatur.
Bas dua tingkat itu mesra orang kurang upaya bagi membolehkan golongan itu juga mendapat faedah daripada projek unik itu.
Perjalanan itu yang akan bermula dari Masjid Nabawi, akan membawa pelawat ke 11 tempat di Madinah, termasuk kawasan bersejarah seperti Tanah Perkuburan Al-Baqwa, Gunung Uhud, Masjid Dua Kiblat, Jalan Sultanah dan pusat komersial.
Menurut Fahad, pertimbangan khas diberikan ketika menetapkan harga supaya perkhidmatan itu dalam kemampuan semua.
Untuk memberi kepuasan kepada pelawat yang datang dari pelbagai pelusuk dunia, lawatan itu menawarkan jurupandu yang bercakap dalam lapan bahasa.
Projek itu akan bermula dengan lima bas sebelum ia ditingkatkan kepada 15 dan perkhidmatan berkenaan akan berjalan selama 14 jam sehari.

-Metro

No comments:

Post a Comment