isteri apabila suami yang disayangi berubah hati setelah dua minggu diijabkabul.
Sedih dan kecewa bercampur malu yang amat sangat. Malu kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan. Semuanya gara-gara perkahwinan yang diatur keluarga.
“Deritanya saya tanggung sendiri,” demikian cerita Puteri (bukan nama sebenar) kepada saya dalam satu pertemuan singkat, baru-baru ini.
Ini cerita Puteri.
“Saya berusia 28 tahun, seorang eksekutif di sebuah bank berkelulusan universiti tempatan. Saya sudah tiga tahun bekerja sekembalinya dari luar negara. Saya ke luar negara kerana membawa diri.
“Kisah ini berlaku tiga tahun lalu. Saya, anak kedua daripada empat beradik. Abang sulung telah bekerja dan dua adik masih belajar di unversiti.
“Semasa di universiti, saya tidak mempunyai teman lelaki, sebab saya sangat pemalu.
“Saya mahu lulus dan bekerja terlebih dahulu. Soal jodoh, biar saya selesai belajar, itu impian saya. Sebaik sahaja tamat belajar, saya dapat kerja.
“Satu hari, saya bersama mak menghadiri kenduri di rumah kawannya. Di rumah itu, saya diperkenalkan dengan tuan rumah, seorang wanita yang cantik dan baik hati, yang saya panggil makcik Ema (bukan nama sebenar).
“Sekembalinya dari rumah tersebut, saya lihat perangai mak berubah. Dia asyik tersenyum dan bertanya saya bila hendak kahwin. Terpulanglah kepada mak, baik kepada mak, baiklah untuk saya.
“Akhirnya, saya dapat jawapan kenapa mak selalu tersenyum. Rupa-rupanya, dia sudah berpakat dengan makcik Ema untuk menjodohkan saya dengan anak lelakinya yang baru balik dari luar negara, seorang jurutera.
“Hajat mak, saya terima sebab saya yakin dengan pilihan mak. Katanya, lelaki itu sudah melihat gambar saya dan berkenan. Dia juga tidak menolak hajat ibunya untuk mengambil saya sebagai menantu.
“Kami berjumpa buat kali pertama sebelum bertunang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Iwan (bukan nama sebenar). Pertama kali saya melihatnya, memang saya jatuh cinta. Dia pun begitu, pada anggapan saya.
“Tiga bulan kemudian, kami dinikahkan. Inilah kebahagiaan yang saya impikan. Saya sangat bersyukur. Pada malam pertama kami, Iwan minta izin untuk keluar rumah. Ada hal katanya. Tengah malam, baru dia balik, itupun saya telah tidur.
“Begitulah sepanjang seminggu. Iwan tidak sentuh saya langsung. Walau tertanya-tanya juga sebabnya, saya sabar, mungkin dia sedang mencari keserasian antara kami. Perkara ini, saya rahsiakan dengan mak.
“Dua minggu kemudian, Iwan beritahu saya dia hendak pergi kursus di Johor Baharu selama seminggu. Itulah kali terakhir, saya berjumpa dia.
“Rupa-rupanya, dia balik ke rumah ibunya dan tinggalkan saya di rumah mak tanpa sebarang pesanan.
“Akhirnya, saya mengaku setelah keluarga syak sesuatu. Ayah dan abang mengamuk. Keluarga Iwan dan keluarga saya bersemuka. Bersaksikan kedua-dua ibu bapa, Iwan menjatuhkan talak satu ke atas saya dengan alasan dia tidak boleh hidup dengan saya.
“Dia mengaku tersilap buat keputusan semasa mengaku untuk berkahwin dengan saya kerana tidak mahu menghampakan hajat ibunya. Bapanya bangun dan hampir menamparnya tetapi ayah saya menghalang.
“Saya pula hampir pengsan mendengar pengakuannya. Sampai hatinya. Saya sangat kecewa dan sedih. Saya sudah diceraikan. Saya menangis sepuas hati. Seminggu saya berkurung dalam bilik, tidak pergi kerja kerana malu.
“Apa yang hendak saya beritahu kawan-kawan dan keluarga yang bertanya. Di mana saya hendak letak muka? Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Saya tidak salahkan sesiapa, juga ibu bapa saya. Mungkin jodoh saya ditakdirkan begitu, saya reda. Akhirnya saya buat keputusan minta tukar ke tempat lain. Itupun tidak lama.
“Permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara diluluskan. Kini, tiga tahun sudah berlalu. Saya juga sudah lupakan semuanya.
“Saya balik dengan azam baharu, dengan harapan dan impian untuk mulakan hidup baru. Doakan saya.
“Lega saya dapat bercerita dengan puan. Saya dan mak memang pengikut setia ruangan puan. Banyak yang boleh dimanfaatkan dengan catatan puan. Semoga kisah saya menjadi iktibar kepada orang lain,” katanya sebelum kami berpisah.
Saya sempat berbisik dan bertanya, sudahkah dia tahu punca suaminya tinggalkan dia. Sambil tersenyum, Puteri berkata, “orang belajar di luar negara, kehidupan sosialnya sudah terlampau, dia tidak suka perempuan.”
Ibu bapa patut ambil iktibar dengan kisah Puteri. Jangan sembarangan mengatur jodoh untuk anak-anak. Fikirkan masa depan mereka, kecuali benar- benar kenal hati budi dan perangai calon menantu.
Saya terkedu, hilang kata-kata. Merenung wajahnya yang cantik dan bijak pula, hati saya berkata, bodoh lelaki yang tidak menghargai hamba Allah yang baik ini.
Insya-Allah Puteri, Allah akan gantikan dengan lelaki yang lebih baik dan layak untukmu.
Menamatkan catatan, pesanan saya, tersenyumlah walau hati sedang diduga. Sesungguhnya, senyum itu penawar segala derita yang di penghujungnya ada bahagia.
Salam

-Utusan