Wednesday, October 12, 2016

Mereka masih kecil, kasihanilah



Beirut: Orang ramai dan pasukan penyelamat menarik keluar kanak-kanak dari bawah runtuhan bangunan di Aleppo, Syria, kini bagaikan kejadian biasa seperti kanak-kanak lelaki ini diselamatkan selepas serangan udara oleh pesawat Russia semalam.
Namun, kali ini kanak-kanak berkenaan diselamatkan dalam keadaan masih hidup, tidak seperti kanak-kanak lain yang dikeluarkan selepas sudah menjadi mayat.
Pesawat Russia yang menyokong Presiden Bashar al-Assad berterusan mengebom kawasan pemberontak di Aleppo, termasuk kawasan penempatan dan dalam serangan di Bustan al-Qasr dan Fardous, semalam, 14 terbunuh.
Kanak-kanak yang mati atau cedera parah dikeluarkan dari bawah runtuhan akibat dibom sudah menjadi kebiasaan kerana hampir setiap hari ia berlaku. Keluarga bagaikan menunggu hari bila anak, adik atau abang bakal mati.
Begitulah keadaan kanak-kanak, termasuk bayi di Aleppo yang hampir musnah akibat dibedil setiap hari oleh semua pihak yang berperang di Syria dan kini dianggap padang maut.
Antara 250,000 orang yang terperangkap dalam bandar di utara Syria itu, 100,000 adalah kanak-kanak yang menunggu masa menjadi sasaran pengeboman, sama ada oleh tentera Syria dan sekutunya Russia atau serangan pemberontak.

-Metro

No comments:

Post a Comment