Tuesday, April 21, 2015

Pemerdagangan organ

Koleksi gambar berikut memaparkan keadaan pesakit yang lemah dan terdesak ketika menjalani pembedahan berisiko di hospital yang kotor yang dieksploitasi kumpulan yang terbabit dalam pemerdagangan organ manusia.

Penderma yang menggadai nyawa hanya memperoleh AS$5,000 (RM18,400) daripada kumpulan itu yang kemudian menjual organ berkenaan hingga mencecah harga AS$200,000 (RM735,000).
Di India, tempat gambar ini dirakam, kira-kira 2,000 orang menjual buah pinggang mereka secara haram setiap tahun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), aktiviti itu meningkat sehingga sekitar 10,000 pembedahan seumpama itu di seluruh dunia setahun lebih satu pembedahan sejam.
Namun anggaran ini dianggap sangat konservatif.

Hospital di China saja dipercayai memperoleh sehingga 11,000 organ daripada tahanan politik setiap tahun.

Pasaran bagi buah pinggang lebih tinggi berbanding jantung, paru-paru dan organ lain kerana penderma masih boleh meneruskan hidup dengan satu buah pinggang saja.

Walaupun undang-undang mengharamkan penjualan organ, pemerdagangan secara haram berlaku seiring dengan peningkatan permintaan bagi buah pinggang ekoran penyakit kencing manis yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Sementara itu, satu laporan dari China menyatakan, sebahagian pesakit yang masih hidup dibakar di bilik dandang hospital selepas organ mereka diasingkan.

Seorang bekas pelajar perubatan mendedahkan bagaimana dia memotong seorang pesakit walaupun dia masih hidup selepas organnya diambil.

Seorang pekerja kesihatan pula memberitahu bagaimana suaminya, pakar bedah, mencungkil kornea daripada orang yang masih hidup.

Butir mengerikan itu disiarkan di dalam dokumentari SBS Dateline.

Menurutnya, doktor dan pelajar perubatan dikendalikan tentera dan hospital awam di China mengambil ribuan organ setahun daripada penderma ketika mereka masih hidup.

Seorang bekas pekerja kesihatan dipetik sebagai berkata: “Saya boleh memberikan keterangan terhadap jenayah kejam yang dilakukan hospital yang mengambil hati dan kornea daripada ahli keluarga Falun Gong yang ditahan pihak berkuasa. Mereka kemudian dibakar walaupun masih hidup.”

Seorang pelajar perubatan pula mengaku bagaimana dia mengambil hati dan dua buah pinggang mangsa dalam satu pembedahan yang hanya mengambil masa 30 minit.

Pegawai China menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan organ berkenaan diambil daripada sukarelawan.

-Metro

No comments:

Post a Comment