Wednesday, April 29, 2015

Sumpah Asim - Mayatnya dipelihara Allah daripada kaum musyrikin

PADA tahun keempat selepas hijrah, Rasulullah SAW mengutus sekumpulan sahabat untuk mengintip aktiviti kaum musyrikin di sekitar Madinah. Baginda menunjuk Marthad bin Abi Marthad sebagai pengetua misi tersebut. Turut serta dalam kumpulan ini ialah Asim bin Thabit al-Ansari.

Beliau seorang tokoh sahabat Nabi yang membunuh ramai kaum musyrikin di perang Badar. Apabila berada di satu kawasan bernama Had’ah, antara Usfan dan Mekah, suku Bani Lihyan menyedari kehadiran mereka. Kaum musyrikin ini lalu mengutus kurang lebih 100 orang pasukan untuk menjejaki mereka.

Takdir Allah menentukan mereka berjaya mengejar lalu mengepung para sahabat Nabi ini. Merasa berada di atas angin, Bani Lihyan berkata: “Jika kalian menyerah, kami berjanji tidak akan menyakiti seorang pun daripada kalian.” Kaum musyrikin ini penuh dengan sifat khianat. Janji mereka sangat sukar untuk dipercayai. Justeru, Asim bin Thabit dan Marthad berkata: “Demi Allah, kami tidak menerima janji kaum musyrikin selama-lamanya.”

Kedua-dua sahabat Nabi ini lalu memutuskan untuk bertempur hingga syahid. Rakan kedua-duanya memutuskan untuk menyerah. Namun setelah mereka meletakkan senjata, kaum musyrikin memungkiri janji. Para sahabat ini dijual kepada ahli Mekah yang keluarganya terbunuh di perang Badar. Mereka lalu dibunuh untuk mengubati dendam mereka. Sungguh tepat firasat Asim dan Marthad.

Sebahagian kaum musyrikin ini berniat untuk memenggal kepala Asim bin Thabit. Mereka hendak menjualnya kepada Sulafah binti Saad di Mekah. Wanita musyrik ini pernah bernazar untuk meminum arak di atas kepala Asim. Itu kerana Asim telah membunuh kedua-dua anaknya semasa perang Badar.

Apabila mereka mendekati mayat Asim, tiba-tiba sekumpulan tebuan seperti awan berkeliling di sekitar mayat tersebut. Kaum musyrikin tidak berani mendekat. Mereka lalu berkata: “Mari kita tunggu hingga petang hari. Pada saat itu, mungkin haiwan ini telah pergi.”

 Setelah mereka pergi, Allah menurunkan hujan yang sangat deras. Air tersebut menyebabkan banjir yang menghanyutkan tubuh Asim. Allah menyelamatkan tubuh sahabat yang mulia ini. Menurut Abu Nuaim dalam Hilyat al-Aulia, penjagaan Allah ini berkait rapat dengan sumpah Asim bin Thabit.

Beliau pernah bersumpah untuk tidak menyentuh ataupun disentuh oleh musyrik. Agaknya, kebencian beliau kepada syirik yang membuat beliau bersumpah seperti itu. Berkata Abu Nuaim: “Asim telah memenuhi janjinya kepada Allah semasa hidup.

Justeru, Allah mencegah mereka daripada menyentuh mayatnya setelah beliau mati, sebagaimana beliau mencegah dirinya daripada menyentuh mereka ketika hidup.” Antara pengajaran daripada kisah ini, siapa yang menjaga janjinya kepada Allah, maka Allah akan menjaga janji-Nya kepada orang itu.

Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji. Sebagaimana firman Allah kepada Bani Israil yang bermaksud: Penuhilah perjanjian-Ku, Aku akan memenuhi perjanjianmu… (al-Baqarah: 40) Perjanjian terbesar antara seorang hamba kepada Allah ialah mentauhidkan Allah, melaksanakan ibadah dan menjauhkan maksiat.

Jika kita menjaga perjanjian ini dengan baik, Allah akan mengotakan janji-Nya untuk memberikan syurga dunia dan syurga akhirat. Wallahua’lam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/sumpah-asim-1.85449#sthash.rsxr2SdP.dpuf

No comments:

Post a Comment