Tengku Kamariah Tengku Losin mengajar cucunya, Muhammad Haziq Amsyar Ahmad Mustamam membaca al-Quran di rumah mereka, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Biarpun begitu bapa kanak-kanak tersebut, Ahmad Mustamam Alang Ahmad, 39, menjelaskan anak sulung daripada empat adik beradik itu tidak mempunyai sebarang kelebihan, sama seperti rakan sebayanya yang lain.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti itu berkata, minat Muhammad Haziq Amsyar untuk menunaikan ibadah sunat itu apabila mendapat penjelasan tentang kelebihan solat itu daripada datuknya, Raja Hasan Raja Bongsu, 85, dan neneknya, Tengku Kamariah Tengku Losin, 80.
“Saya dan keluarga selalu juga solat dhuha tetapi tidak setiap hari. Bila nak solat dhuha dia tanya mengenai kelebihannya. Ayah mentua dan ibu mentua saya selalu bercerita mengenai solat duha kepada dia. Daripada itu minatnya untuk solat duha.
“Bukan solat duha sahaja, Amsyar juga suka solat tahajud, dia selalu berpesan kepada saya supaya kejutkannya solat tahajud tetapi saya tidak galakan sangat pada hari sekolah, bimbang dia mengantuk di sekolah nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Guru, Pintu Geng di sini hari ini.
Katanya, setiap hari anaknya itu tidak makan makanan di kantin dan akan membawa bekal yang disediakan oleh isterinya, Tengku Noor Adlina, 36, yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Bandar di sini pada setiap hari.
Sejak semalam, gambar kanak-kanak itu solat seorang diri di dalam surau sekolah tersebut menjadi viral di laman sosial dan mendapat reaksi positif dari semua pihak.
Sementara itu, Muhammad Haziq Amsyar berkata, setiap kali waktu rehat dia akan meluangkan masa selama beberapa minit pada waktu rehatnya untuk menunaikan solat sunat yang menjadi rutin hariannya pada setiap pagi.
“Waktu rehat di sekolah pukul 9.45 pagi, sebelum menunaikan solat saya akan makan bekal yang diberikan oleh ibu dan kemudian bergegas ke surau untuk menunaikan solat Duha.
“Solat ini hanya beberapa minit sahaja dan saya masih ada masa untuk bermain dengan rakan lain kerana waktu rehat setengah jam, ada kawan-kawan ikut solat de­ngan saya sekarang,” katanya.
Tambahya, dia mula bersolat lima waktu sejak berusia lima tahun dan amalan solat duha di sekolah tidak membebankannya.

-Utusan