Sunday, May 15, 2016

40 hari gali perigi demi isteri

New Delhi: Seorang lelaki menghabiskan 40 hari berturut-turut menggali perigi selepas isterinya dihalang dan dimalukan ketika cuba mengambil air daripada telaga milik orang yang berkasta lebih tinggi di Maharashtra, India, yang dilanda kemarau.
Bapurao Tajne berkata, dia menangis apabila isterinya menceritakan pengalaman itu dan terus berazam mencari sendiri air untuk kegunaan keluarganya.

“Saya berazam kami tidak akan lagi mengemis air daripada sesiapa,” katanya.
Kerana tidak mampu berhenti kerja sebagai buruh, Tajne sanggup bangun lebih awal setiap pagi dan menggali telaga selama empat jam sebelum pergi bekerja selain dua jam sebaik pulang.
“Sebenarnya saya cuma berdoa dan bergantung kepada kata hati ketika mencari tempat menggali.
Pada mulanya saya gagal kerana tiada pengalaman atau ilmu, malah ramai yang ketawakan saya kerana terpaksa mencuba tiga kali sebelum berjaya.
“Namun, saya tidak berputus asa dan akhirnya menemui air,” katanya.
Seramai 330 juta orang terkesan akibat kemarau di India, malah sesetengah tempat juga melihat bekalan air minuman dicatu.
Bagaimanapun, Tajne bermurah hati berkongsi air telaganya bersama orang kampung.
“Biarlah mereka gelakkan saya dulu, yang penting kita semua dapat berkongsi rezeki,” katanya.
Isterinya mengaku turut menggelakkannya kerana tidak percaya dia mampu berjaya.
“Sejujurnya saya tidak membantunya langsung. Tetapi sebaik dia menemui air saya kagum dan kami sekeluarga terus menolongnya,” katanya. - Agensi/Metro

No comments:

Post a Comment