Pemimpin kumpulan radikal Buddha Myanmar Ma Ba Tha, Wirathu berkata, dia menyokong tindakan pengundi AS memilih Trump sebagai Presiden selepas pe­mimpin parti Republikan itu dalam kempennya bercadang mahu mengharamkan umat Islam daripada memasuki negara ber­kenaan selain mening­katkan pengawasan terhadap masjid.
“Kami dipersalahkan oleh dunia yang menganggap kami berfikiran sempit tetapi kami hanya melindungi penduduk dan negara kami.
“Namun apabila penduduk di AS yang merupakan negara di mana bermulanya demokrasi dan hak asasi manusia memilih Trump, dia juga sama seperti saya kerana menekankan kepada nasiona­lisme, mungkin kami akan kurang dipersalahkan masyarakat antarabangsa selepas ini,” katanya.
Wirathu pada masa sama, mencadangkan idea untuk bekerjasama dengan kumpulan nasionalis di AS.
“Di AS, wujud pertubuhan seperti kami yang melindungi mereka daripada ancaman Islam dan kumpulan itu boleh datang ke Myanmar bagi berbincang atau mengemukakan cadangan.
“Myanmar tidak perlu mendapatkan pandangan daripada negara-negara lain tetapi mereka boleh mendapat idea dari Myanmar,” katanya.
Wirathu telah didakwa sebagai individu yang mencetuskan keganasan kebencian, mengeluarkan ke­­nyataan retorik anti-Islam di negara itu sehingga mendorong penduduk Buddha Myanmar merusuh yang mengakibatkan lebih 200 orang etnik Rohingya terbunuh pada tahun 2012 manakala ribuan lagi terpaksa menjadi pelarian.
Dalam perkembangan ber­asingan, penduduk Bangladesh di daerah Teknaf yang tinggal berhampiran dengan kawasan sempadan negara itu dan Myanmar menceritakan pengalaman mereka menyaksikan nasib malang etnik Rohingya berdepan tindakan kekerasan tentera.
“Sepanjang tempoh minggu lalu, kami menyaksikan api besar meranapkan beratus-ratus buah rumah ketika helikopter tentera melepaskan tembakan ke aras kawasan yang didiami penduduk Islam,” kata Mohammad Hossain. 

– AGENSI