Itulah yang dibuktikan oleh Abdullah Sholeh sejak 10 tahun lalu apabila ditugaskan untuk menjaga seekor harimau Bengal, dikenali sebagai Mulan Jamillah.
Lapor portal Oddity Central, Mulan didermakan ke sekolah agama di Malang, tempat Abdullah menuntut ketika haiwan berkenaan baru berusia tiga bulan pada 10 tahun lalu.
Pemilik Mulan yang terdahulu tidak mampu menjaganya namun Abdullah begitu gembira apabila diberitahu dia perlu menghabiskan kebanyakan masanya dengan haiwan itu.
Sejak itu, Abdullah sering menghabiskan masa bersama-sama Mulan dan mula menjadi rakan karib sehinggakan ramai menggelarkan Abdullah sebagai ‘Nenek’.
“Jika saya tiada di rumah, Mulan akan cuba mencari saya, dia pasti bimbang. Disebabkan itu, saya selalu bermain, tidur dan memberi makanan kepada dia,” kata Abdullah kepada Barcroft TV, tiga tahun lalu.
Walaupun Mulan begitu jinak dengan Abdullah, namun lelaki tersebut tidak mengambil mudah soal keselamatan diri terutamanya ketika bermain-main dengan haiwan berkenaan.
“Saya sedar dia merupakan haiwan yang mempunyai naluri tersendiri seperti kucing. Apabila dia bermain, Mulan boleh mencakar dan menggigit, itu adalah beberapa risiko yang perlu saya tanggung,” kata Abdullah.