Menurut portal berita Huf­fington Post, Tom Harrison yang bertugas di Jabatan Polis Me­tropolitan dilaporkan berjaya me­lintasi garisan penamat semalam, enam hari selepas perlumbaan bermula.
Anggota polis berusia 41 tahun yang kini mendapat gelaran Encik Gorila, bertindak memakai kostum berkenaan demi me­ngum­pul dana untuk Pertubuhan Gorila, yang menjalankan usaha bagi melindungi spesies terancam itu.
“Walaupun usaha ini kelihatan sukar dan aneh, tetapi saya benar-benar gembira kerana berjaya melakukan,” katanya kepada akhbar The Guardian selepas melengkapkan matlamat luar biasa itu.
Harrison yang memakai sut lengkap bersama topeng dan kasut berbulu, berjalan kira-kira 7.2 kilometer sehari dan terpaksa tinggal di rumah beberapa rakannya sebelum menamatkan misi tersebut.
Akhbar The Guardian mela­porkan, ketika berada di garisan penamat, Harrison disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Gorila, Ian Redmond; pelawak terke­nal, Bill Oddie, serta dua anak lelakinya yang turut memakai sut gorila.
Harrison mengakui merasa ter­haru dengan sokongan pelbagai pihak dan tidak menjangka dana yang dikumpulkan itu melebihi 20 kali ganda dari matlamat asal sebanyak AS$1,900 (RM8,247) yang disasarkan menerusi inisiatif tersebut.
Susulan kejayaan itu, anggota polis berkenaan kini merancang menyertai siri jelajah berbasikal Ride London sejauh 160 kilome­ter Julai ini dengan memakai kos­tum sama.