Sunday, February 9, 2014

Jana pendapatan dengan ais krim goyang


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Siapa sangka perniagaan aiskrim ’goyang’ yang diilhamkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Malik Mizan, 54, menerusi jenama ’Best Ice Cream’ mampu menjana pendapatan lumayan. Bekas pegawai berpangkat leftenan itu juga sedang membina rangkaian perniagaan ais krimnya terutama untuk diceburi golongan muda sejajar dengan hasrat kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera. Malik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Duta Prosper Sdn. Bhd., pemilik jenama Best Ice Cream itu, berkata, melalui perniagaan itu beliau bertekad untuk melahirkan sebanyak 10 jutawan aiskrim di seluruh negara dalam tempoh lima tahun. Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai jika para usahawan muda menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan yang konsepnya adalah mudah, bermodal kecil dan berisiko rendah itu. Syarikat itu turut memperkenalkan Pakej Usahawan Modal Insan kepada generasi muda yang ingin menjadi usahawan Best Ice Cream dengan berbekal modal sebanyak RM10,000. "Kami akan berikan kursus dan latihan selama dua hari satu malam mengenai cara pembuatan aiskrim, pengurusan perniagaan, penyenggaraan peralatan, strategi pemasaran dan motivasi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Kelang di sini. Selain latihan, syarikat juga akan menyediakan kiosk, mesin aiskrim, peti beku (freezer), loceng aiskrim, baju T, topi, apron, lidi buluh serta bahan mentah. - BERNAMA/Utusan

No comments:

Post a Comment