Thursday, June 23, 2016

Berbirat salah jawab soalan matematik


Shiyan (China): Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera selepas disebat gurunya dengan wayar elektrik selepas gagal menjawab satu soalan matematik dengan betul.
Akhbar People’s Daily melaporkan, Xiao Yong disebat gurunya, Yue pada 17 Jun lalu di sebuah sekolah rendah di kampung Xianglu di wilayah Hubei.
Yue meminta Xiao menjawab satu soalan matematik di papan hitam selepas murid itu memperoleh markah paling rendah dalam peperiksaan.
Bagaimanapun, Xiao yang memperoleh 81 markah daripada 100 dalam peperiksaan sebelum ini gagal menjawab soalan berkenaan dengan betul.
Yue yang marah kemudian mengambil satu wayar elektrik dan terus menyebat badan Xiao beberapa kali.
Apabila pulang ke rumah, keluarga Xiao terkejut melihat bahagian belakang badan, tangan dan kaki kanak-kanak itu berbirat akibat dirotan.
Keluarga Xiao segera membawa kanak-kanak itu ke hospital di mana dia dirawat selama tiga hari dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, pegawai di biro pendidikan wilayah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu guru berkenaan sudah digantung tugas.
Pegawai itu berkata, guru matematik berusia 50-an itu mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga yang dihadapinya.
“Guru berkenaan itu sudah meminta maaf kepada keluarga mangsa tetapi siasatan terhadapnya tetap dijalankan,” ujarnya.

- Agensi/Metro

No comments:

Post a Comment