Friday, June 3, 2016

Budak jual pucuk ubi dapat perhatian



Miri: Kisah seorang kanak-kanak lelaki yang terpaksa menjual pucuk ubi untuk membantu menyara keluarga yang didedahkan Harian Metro, Jumaat lalu mendapat perhatian pihak berkaitan.
Nasib Mohamad Arif Afirul Abdullah, 9, bersama adik-beradiknya terbela apabila mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang melawat keluarga berkenaan, kelmarin.

Sebastian yang hadir bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluangkan masa sejam di bilik sewa keluarga itu. Beliau turut menyampaikan barangan dapur dan sumbangan peribadi.
Sebastian berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memproses permohonan sijil kelahiran untuk Mohamad Arif dan empat adik beradiknya secepat mungkin.
“Selain itu, JKM akan membantu menguruskan urusan persekolahan kanak-kanak ini. Kami prihatin dengan nasib mereka dan akan cuba memberi bantuan sewajarnya,” katanya.
Ibu Mohamad Arif Afirul, Megawati Mohamad Rosni, 40, berterima kasih kepada Harian Metro kerana pendedahan dibuat membolehkan mereka mendapat bantuan.
“Terima kasih juga kepada Datuk Sebastian yang sudi melawat dan saya berharap proses menguruskan sijil kelahiran dan persekolahan berjalan lancar.
“Alhamdulillah, anak saya dapat bersekolah seperti rakan sebaya mereka,” katanya.



-Metro
 

No comments:

Post a Comment