Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji, Mat Admara Alang Azizdin berkata, mereka merupakan antara 2,208 orang jemaah haji yang akan menggunakan perkhidmatan tersebut tahun ini.

“Terdapat 16 syarikat terma­suk TH Travel and Services akan mengendalikan pakej jemaah haji yang menawarkan pakej serendah RM22,000 seorang dan paling tinggi RM220,000 seorang.

“Daripada 2,208 orang jemaah haji tersebut seramai 847 orang memilih anak syarikat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) TH Travel and Services,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Mat Admara menegaskan, syarat utama untuk mengikuti pakej, jemaah mestilah terpilih untuk menunaikan ibadah haji oleh Tabung Haji.

“Maknanya nama mereka mesti disenaraikan untuk menunaikan haji tahun ini. Tidak ada jalan pintas untuk melaksanakan ibadah itu walaupun mereka bayar lebih tinggi daripada jemaah haji muassasah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mat Admara berkata, semua syarikat terlibat mempunyai perjanjian yang me­ngandungi terma dan syarat yang perlu dipatuhi ke atas perkhidmatan mereka janjikan.

Beliau berkata, walaupun jemaah haji tidak menandatangani risalah tersebut, namun Tabung Haji menganggap ia satu perjanjian antara syarikat dengan mereka.

Mat Admara memberitahu, bagi memastikan syarikat-syarikat terlibat mematuhi peraturan dan perjanjian yang ditetapkan, Tabung Haji menyediakan pasukan pemantau di sini dan Madinah.

Beliau menasihatkan, jemaah haji yang mahu menggunakan perkhidmatan pakej supaya memastikan syarikat terlibat diluluskan lesen oleh Tabung Haji.

“Langkah menggunakan syarikat berlesen dengan Tabung Haji adalah penting kerana agensi itu akan bertanggungjawab terhadap apa-apa kelemahan perkhidmatan yang diberikan syarikat tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan jemaah haji pakej membuat aduan kepada pejabat Tabung Haji di sini atau Madinah jika mendapati syarikat terlibat gagal memberi perkhidmatan seperti mana dijanjikan.

“Jangan membuat aduan apabila sudah pulang ke tanah air. Ini memandangkan apabila aduan diterima pasukan pemantau akan melakukan pemeriksaan untuk mendapatkan bukti,” katanya.