Tuesday, August 30, 2016

Wanita pun boleh



Mumbai: Sebuah makam dipercayai milik wali di Mumbai yang berusia ratusan tahun semalam diarahkan membenarkan wanita memasuki kawasan khas di dalamnya selepas mahkamah memutuskan larangan terhadap golongan itu melanggar hak perlembagaan mereka.
Badan amanah Haji Ali Dargah melarang wanita memasuki kawasan dalam makam itu sejak 2012 kerana mendakwa kaum hawa diharamkan menghampiri makam wali dalam Islam.
Sehubungan itu, Hakim V M Kanade di Mahkamah Tinggi Bombay semalam memutuskan: “Wanita boleh memasuki ruang dalam makam Haji Ali Dargah dan kerajaan negeri diwajibkan memastikan keselamatan mereka.”
Keputusan itu seiring dengan kempen yang semakin dipertingkat oleh wanita di India untuk dibenarkan memasuki kuil Hindu yang juga ada antaranya melarang golongan berkenaan memasuki ruangan dalam lokasi berkenaan.
Ratusan wanita berarak memprotes di kuil Shani di Maharashtra pada Januari yang membawa kepada mahkamah tinggi di Mumbai kemudian membatalkan larangan yang dikenakan terhadap wanita di situ.
Keputusan terbaru semalam dialu-alukan kumpulan hak asasi wanita.
“Ia kemenangan besar untuk wanita di mana saja yang berjuang mempertahankan hak mereka. Mahkamah Tinggi berjaya memastikan kesamarataan hak untuk wanita di tempat beribadah,” kata aktivis wanita, Trupti Desai.
Katanya, aktivis wanita akan menziarahi makam itu pada 28 Ogos ini.
Pada masa sama, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan selama enam minggu untuk membolehkan badan amanah berkenaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung.

- Metro

No comments:

Post a Comment