Monday, August 1, 2016

‘Islam bukan keganasan’ - Pope

 


VATICAN CITY, Itali – Ketua gereja Roman Katolik, Pope Francis kelmarin berkata, Islam tidak boleh disamakan dengan keganasan dan memberi amaran bahawa Eropah memberikan tekanan kepada belia sehingga golongan itu mudah dikuasai pelampau.

“Adalah tidak benar dan tidak betul untuk menyatakan Islam ialah keganasan. Saya tidak fikir Islam boleh disamakan dengan keganasan,” katanya kepada wartawan di dalam pesawatnya semasa penerbangan pulang dari lawatan ke Poland.

Menjawab soalan wartawan, Pope Francis turut mempertahankan keputusannya untuk tidak menamakan Islam semasa mengutuk pembunuhan kejam seorang paderi Katolik di Perancis oleh kumpulan militan Islamic State baru-baru ini.

“Hampir dalam setiap agama, pasti ada segelintir pelampau. Kita juga mempunyai puak sebegini. Jika saya perlu bercakap mengenai keganasan Islam, saya juga perlu bercakap tentang keganasan Kristian.

“Setiap hari di akhbar saya melihat keganasan di Itali, ada yang membunuh teman wani­tanya, ada juga yang membunuh ibu mertuanya dan mereka ini penganut Katolik,” katanya.

Ketua gereja Katolik itu berkata demikian selepas orang Islam menghadiri perhimpunan gereja Katolik di sekitar Perancis kelmarin bagi menunjukkan penyatuan susulan pembunuhan paderi itu.

Mengulangi kenyataan yang dibuat semasa lawatan lima harinya ke Poland, Pope Francis berkata, agama bukan punca keganasan.

“Lidah manusia boleh membunuh sama seperti pisau,” katanya merujuk kepada pe­ningkatan parti bersifat populis yang menyemarakkan api perkauman dan fahaman xenofobia iaitu bencikan orang asing. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4G94xlDfp

No comments:

Post a Comment