Monday, January 2, 2017

Video 'budak Rohingya' diseksa di Internet

Naypyidaw: Satu rakaman video menyayat hati menunjukkan lelaki yang tidak dikenali mendera seorang kanak-kanak bogel - didakwa askar Myanmar dan budak Rohingya - menggunakan pistol renjat dimuat naik sebuah laman web Pakistan.
Tempat kejadian dan bila rakaman itu sebenarnya direkodkan tidak dapat disahkan, tetapi orang yang memuat naik video berkenaan mendakwa kejadian itu berlaku di Myanmar.
Keterangan video itu berkata: “Video budak Rohingya diseksa menggunakan pistol renjat berulang kali oleh askar Burma. Moga Allah melindungi mereka.”
Dalam video itu, kanak-kanak terbabit dilihat menggeliang-geliut sepanjang rakaman untuk mengelak ‘ditembak’ lelaki itu.
Kanak-kanak itu juga menjerit dan menangis kesakitan sepanjang rakaman berkenaan.
Orang Islam Rohingya berdepan penganiayaan kejam daripada tentera Myanmar yang menganggap mereka pendatang haram dari Bangladesh.
Sejak 2012, lebih 100,000 Rohingya melarikan diri, kebanyakannya ke Bangladesh. Pada Oktober lalu, kerajaan dan tentera mula menyerang golongan berkenaan kerana didakwa pemberontak.
Pertubuhan Rohingya Myanmar United Kingdom berkata, pelbagai kekejaman seperti rogol, pembunuhan beramai-ramai dan pembakaran tempat tinggal berlaku setiap hari. Namun, kerajaan Myanmar menafikan tuduhan itu yang didakwa sebagai palsu dan diputarbelitkan.

 - Agensi/Metro

No comments:

Post a Comment