Wanita tua dikurung bertahun anak menantu
GUANGXI - CHINA. Rakaman yang menunjukkan seorang warga emas 92 tahun dikurung bertahun-tahun oleh anaknya di dalam kandang babi mengundang kecaman netizen selepas perbuatan itu mula tular.
Wanita dengan nama keluarga Yang, dikurung di dalam kandang babi oleh anak lelaki serta menantunya itu dibiarkan tanpa makanan dan pakaian yang cukup serta sering dipukul dan dimarahi, lapor Nangui Morning News yang berpusat di Guangxi.
Video kehidupan wanita itu dimuat naik di laman sosial Weibo.
"Saya tidak dapat melihat apa-apa," kata Yang lemah.
Anak lelaki serta menantu mendakwa, warga emas itu secara sukarela mahu berpindah ke bilik bawah berpintu pagar besi yang terletak di sebelah rumah mereka.
Bagaimanapun menafikan wanita itu diletakkan di dalam kandang babi.
Gambar menunjukkan wanita yang berpakaian buruk diselamatkan oleh pegawai kerajaan tempatan yang pergi ke kediaman wanita itu selepas video berkenaan viral bulan ini.Wanita tua dikurung bertahun anak menantu
Dia kini dirawat di sebuah hospital tempatan dan masih belum pulih sepenuhnya.
Kejadian yang menimpa wanita itu mendapat kecaman netizen yang rata-rata menuduh anaknya sebagai tidak berperikemanusiaan dan tingkah laku seperti binatang.
Malah ada yang berkata, anak serta menantunya akan dilayan dengan cara yang sama oleh anak-anak mereka nanti apabila mereka tua nanti.
China berdepan masalah sistem penjagaan warga tua dek penambahan penduduk China.
Pada tahun 2013 China meluluskan "undang-undang hak-hak orang tua" termasuklah peruntukan yang diperlukan anak-anak untuk kerap melawat ibu bapa mereka.
Menurut Biro Perangkaan Negara, negara itu kini mempunyai lebih daripada 212 juta orang yang berusia lebih 60 tahun.

-Sinar