Thursday, January 5, 2017

Wanita Saudi kini bekerja di lapangan terbang



Jeddah: Wanita Saudi kini sudah diambil bekerja di barisan hadapan lapangan terbang di bandar raya ini.
Perkembangan terbaru itu selari dengan ‘Wawasan 2030’ kerajaan Saudi yang antara lain merancang meluaskan skop pekerjaan untuk wanita negara itu.
Seorang daripada mereka, Asrar Mushee ketika diwawancara akhbar Al-Madinah mengenai perasaannya menjadi perintis dalam pekerjaan seumpama itu berkata: “Saya bangga menjadi antara kumpulan wanita pertama Saudi terbabit dalam industri penerbangan negara, khususnya di lapangan terbang.
“Adalah menjadi cabaran untuk membuktikan keupayaan kami dan membuktikan kepada masyarakat serta seluruh dunia bahawa wanita Saudi juga mampu mencapai kejayaan di semua bidang apabila diberi peluang.
“Dan secara peribadi, saya bahagia dapat memberi perkhidmatan kepada penumpang, pengunjung dan membuatkan mereka berpuas hati dengan khidmat yang kami berikan.”
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan Arabia Gulf Air, Samer Abdul Salam Al-Majali berkata, buat masa ini syarikat itu mengambil 10 wanita bekerja sebagai ‘kakitangan pergerakan lapangan terbang’ dan merancang mengambil lebih ramai lagi menjelang April.
Menurutnya, tugas itu sebelum ini dikendalikan kakitangan lelaki.
“Mereka menjalani latihan intensif sebelum dilantik ke jawatan masing-masing,” katanya. 

- SG/Metro

No comments:

Post a Comment