Monday, August 3, 2015

Wanita pembunuh zirafah pula cetus kemarahan ramai

IDAHO, Amerika Syarikat – Seorang wanita di sini dikecam hebat selepas memuat naik gambar di laman sosial Facebook bersama seekor zirafah yang dibunuhnya.

Wanita itu, Sabrina Corgatelli digelar sebagai ‘gila’ dan dianggap memalukan oleh beratus-ratus pengguna laman sosial berkenaan selepas memburu dan membunuh haiwan itu ketika berkunjung ke Taman Negara Kruger di Afrika Selatan pada Julai lepas.

“Hari kedua saya mendapat seekor zirafah tua, haiwan yang sangat menakjubkan. Saya sangat gembira. Saya tidak dapat melupakan perasaan ketika mendapat haiwan itu,” tulis Corgatelli di dalam kapsyen gambar tersebut.

Walaupun mendapat kecaman, dia langsung tidak berasa bersalah dan memuat naik sekeping gambar yang meminta orang ramai bersabar kerana lebih banyak perkara lain yang sepatutnya boleh menyebabkan mereka marah.

Dalam misi pemburuan Corgatelli pada 24 Julai lepas, dia turut dikatakan menyasarkan beberapa haiwan lain seperti kudu, impala, babi liar dan seladang menerusi pakej memburu sebanyak £3,600 (RM21,650).

Sebelum ini, seorang doktor gigi, Walter Palmer dipercayai telah membunuh seekor singa bernama Cecil dengan bayaran £35,000 (RM210,435) sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3ho6OV7w9

No comments:

Post a Comment